Wednesday, April 21, 2010

P094 Hulu Selangor..

Saya tahu ia bukan tugas mudah. Tetapi, jika saya berada dalam situasi pengundi di Hulu Selangor, saya akan mengundi Datuk Zaid Ibrahim. Saya mempunyai beberapa sebab untuk mengundi beliau antaranya:

1. Pengetahuan dan Pengalaman

Datuk Zaid Ibrahim adalah antara generasi besar di era perjuangan mahasiswa tahun 1970-an. Beliau akhirnya menjadi seorang pengamal undang-undang yang cukup dikenali. Firma guamannya, Zaid Ibrahim & Co (atau singkatannya ZICO) adalah firman guaman terbesar di Malaysia dan dikenali bukan sahaja di Malaysia.

Saya masih ingat ketika menatap majalah Dewan Masyarakat akhir tahun 1980-an dan awal 1990-an, beliau mempunyai kolum khas mendidik masyarakat berkaitan isu-isu perundangan.

Selain daripada dunia perundangan dan politik, beliau juga mewakafkan sebahagian hartanya untuk membantu golongan kurang upaya (OKU) melalui Yayasan Masa Depan Saya (MyFuture Foundation) yang ditubuhkannya.

2. Sederhana

Datuk Zaid mungkin dianggap kaya oleh sesetengah pihak. Itu dari segi material. Saya menganggap Datuk Zaid seorang yang sederhana dari segi jiwanya.

Saya suka mendengar jawapan jujur Datuk Zaid meskipun peribadinya diserang hebat oleh mereka yang mahu melihat beliau tewas - sama ada pihak luar atau elemen dalam parti sendiri.

Saya memang tidak mengharapkan seorang pemimpin yang sempurna dan hebat sehingga akhirnya mereka menentukan semuanya bagi pihak diri saya sendiri. Saya melihat Datuk Zaid seorang yang memahami falsafah 'kebebasan dengan disiplin yang wajar'.

3. Berani mengambil risiko

Datuk Zaid berani berhenti daripada menjadi Menteri dan kemudian keluar daripada BN ketika mereka di puncak kuasa. Saya suka pendirian beliau yang disuarakan secara terbuka meskipun bukanlah di luar pengetahuan beliau bahawa pendirian yang diambil itu tidak dialukan. '

Saya berpendapat bahawa beliau menganggap menang atau kalah tidak ada hubung-kait dengan persoalan material kerana tentulah lebih selesa untuk beliau kekal tidak berparti dan hidup menikmati kekayaan material yang beliau ada berbanding sibuk menguruskan parti dan hal-hal politik yang tidak habis, apatah lagi bersama parti pembangkang.

4. Menguatkan institusi demokrasi iaitu Parlimen

Datuk Zaid Ibrahim boleh menguatkan institusi demokrasi iaitu Parlimen bersandarkan kepada latar belakang guaman, pengalaman dan pengetahuan politik yang beliau ada.

Menguatkan institusi demokrasi di Malaysia adalah satu tugas penting yang perlu disebar-luas kepada seluruh warganegara kerana semangat demokrasi yang menghargai segala perbezaan yang ada boleh diabaikan dengan menjustifikasikan kezaliman atas nama majoriti.

Setakat ini saya yakin dengan sikap demokratik beliau. Beliau sedia memberi ruang untuk dirinya disanggah dan menjawab balik secara tidak emosional. Beliau bahkan sanggup meletakkan jawatan selaku Menteri untuk mempertahankan pendirian beliau selepas melihat UMNO-BN kekal dengan slogan retorika tanpa iltizam politik untuk berubah.
Difikir-tulis oleh Pewaris Reformasi pada 02:47
Kata Kunci Politik

No comments:

Post a Comment